Pedoman buat qaid dan jundi di jalan Allah..bahagian 2

Akhawat disayangi kerana Allah, entry kali ini insya Allah berkisar durus (pengajaran) dari kisah zat al-salasil (diceritakan dalam entry yang lepas). Perlu diingatkan pembelajaran sirah Rasulullah, para sahabat dan ummat terdahulu bukanlah bertujuan semata-mata untuk kita mengetahui dan merasai semangat perjuangan mereka, tetapi yang jauh lebih penting daripada itu ialah pengajaran dan hikmah yang dapat diambil untuk diaplikasikan dalam kehidupan kita ummat akhir zaman ini. Jadi, entry kali ini agak berat dan memerlukan persediaan mental kerana penulis mengajak kalian untuk sama-sama berfikir dan mengeluarkan pengajaran tersurat dan 'tatbik amali'. Jadi penulis mulakan dengan kalimah بسم الله الرحمن الرحيم

1. Rasulullah s.a.w memilih Amru Al-Asr sebagai ketua panglima perang ketika itu walaupun tempoh pengislaman Amru ketika itu baru mencecah 4 bulan. Dan di kalangan tentera muslimin ketika itu, terdapat ramai para sahabat yang lebih lama dan telah teruji keimanan dan keislaman mereka sejak dari Mekah lagi di antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khottob.

Ini menunjukkan kepimpinan dan jawatan boleh diberi kepada seseorang yang baru menyertai dakwah ini selagi mana bidang dan tugasan tersebut bersesuaian dan mampu dilaksanakan dengan baik, walaupun di sana terdapat mereka yang lebih 'senior' dalam dakwah. Dalam masa yang sama, ia boleh menjadi satu latihan bagi mereka yang baru dalam amal jamaie.

Perlaksanaan ini juga menunjukkan bahawa amal dakwah ini sepatutnya dipikul semua lapisan dalam jemaah, tidak hanya dilonggokkan pada individu-individu tertentu (dalam konteks jemaah merujuk kepada pimpinan dan senior). Pembahagian amal yang baik dalam konteks amal jamaie dapat meningkatkan fokus dan keberkesanan amal.

2. Pemilihan Amru Al-Asr juga merupakan satu bentuk pentarbiyahan kepada para sahabat yang lebih lama dalam Islam untuk mentaati kepimpinan yang telah dilantik walaupun pemimpin tersebut adalah baru.

Dapat dilihat dalam maukif Abu Bakar ketika peristiwa unggun api. Sebaik sahaja Amru Al-Asr berkasar dan berkeras enggan membenarkan unggun api dipasang, Abu Bakar terus patuh dan akur tanpa membalas kata-kata Amru yang kasar. Sedangkan beliau boleh sahaja membalas kata-kata Amru seperti: "Engkau baru sahaja Islam 4 bulan, tetapi aku telah bersama-sama Rasulullah hampir 20 tahun sejak wahyu pertama, bahkan akulah yang pertama memeluk Islam. Kenapakah engkau begitu tidak beradap denganku? Siapakah engkau untuk aku taati? Sepatutnya aku yang menjadi ketua bukannya engkau. "

Abu Bakar bukan sahaja telah menunjukkan qudwah yang sangat mulia sebagai seorang jundi, bahkan beliau turut menasihati Umar supaya bertenang dan mentaati Amru. Perkara ini sangat penting untuk direnungi terutama bagi mereka yang biasa memegang tampuk kepimpinan.

Ketahuilah bahawa Jundiyah Torik Al-Qiyadah. Seseorang mampu menjadi pemimpin yang baik hanya apabila ia mampu menjadi jundi yang baik. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

ولواستعمل عليكم عبديقودكم بكتاالله إسمعواله وأطيعوا

“Walaupun yang memerintah kamu itu seorang abdi yang memimpin
kamu dengan kitab Allah..... patuhlah kepadanya dan taatilah.”

Suka saya bawakan juga hadith yang menunjukkan betapa keinginan terhadap jawatan dan kepimpinan adalah satu perkara terlarang, ditujukan buat mereka yang biasa memegang tampuk kepimpinan dan juga buat mereka yang pernah terlintas untuk memegang amanah seorang pemimpin :

إنا لا نولى هذا من سأله ولا من حرص عليه

"Sesungguhnya kami tidak akan melantik(sebagai pemimpin) mereka yang mengatakan keinginan secara terang mahupun mereka yang mengatakan secara senyap"

Betapa kita sangat ketandusan peribadi seperti Abu Bakar ini. Dan betapa perlunya kita melahirkan peribadi-peribadi seperti ini dengan tarbiyah yang berterusan dan mendalam.

3. Seorang yang dilantik menjadi pemimpin, mempunyai hak berijtihad dalam mengambil satu-satu qarar (keputusan) berdasarkan pengalaman dan ilmunya. Qarar tersebut selepas itu perlu dimuhasabah supaya ia boleh diperbaiki pada masa akan datang. Dapat dilihat Rasulullah memberi ruang buat Amru untuk melakukan ijtihad. Amru juga, memainkan peranan yang baik sebagai seorang pemimpin dengan melakukan ijtihad sendiri tanpa meminta semua keputusan dibuat Rasulullah s.a.w. Dan Rasulullah selepas itu melakukan mutabaah atau follow up supaya qarar dan keputusan yang dibuat adalah bertepatan dan bersesuaian. Apabila proses ijtihad dan muhasabah ini berjalan dengan baik, sifat kepimpinan seseorang akan mampu dibina.

Sesuatu yang menyedihkan, berlaku dalam sesetengah Jemaah Islamiah, keputusan penuh hanya terletak pada pimpinan teratas. Ahli yang dilantik sebagai pimpinan kecil (eg: ketua biro) langsung tiada hak untuk membuat keputusan, mereka hanya mentanfiz keinginan pihak atasan sahaja. Jemaah yang sebegini hanya melahirkan ahli yang taat membuta-tuli "طاعة عمياء"
dan boleh memberi kesan jangka masa panjang yang buruk seperti tiada lapisan kepimpinan dan jemaah terpesong dari hadaf dan syariat.

4. Peristiwa pertelingkahan di kalangan sahabat berkenaan Abu Ubaidah sebagai pemimpin tentera bantuan, dan tidak perlu masuk ke dalam sof pimpinan sedia ada. Di sini, terdapat 4 pengajaran penting:

i- Perlu difahami bahawa khilaf yang berlaku di kalangan sahabat ketika itu bukanlah khilaf kerana tamakkan kepimpinan dan keduniaan, tetapi ia adalah khilaf kerana urusan pentadbiran dan penyusunan tanzim.

ii- Sebab berlakunya khilaf dikalangan sebahagian sahabat yang inginkan Abu Ubaidah kekal sebagai pemimpin adalah kerana mereka terkesan dengan peribadi Abu Ubaidah yang mulia. Abu Ubaidah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai أمين الأمة (pemegang amanah ummat ini). Disebabkan keperibadian yang mulia ini, mereka melihat Abu Ubaidah tidak sepatutnya masuk kedalam sof tentera Amru, tetapi perlu menjadi pemimpin bagi tenteranya sendiri. Perlu dilihat dalam soal ini, timbangan yang menjadi kayu ukur dalam menentukan kedudukan Abu Ubaidah sebagai pemimpin atau tentera Amru, adalah timbangan pentadbiran dan tanzim bukannya timbangan siapa yang lebih baik dan afdhal (timbangan atifi dan perasaan). Mengikut kaedah penyusunan tanzim, tentera bantuan perlu bersatu di bawah tentera utama, bukannya berpecah sebagai pasukan berasingan.

Masalah yang berlaku (meletakkan timbangan atifi dan perasaan dalam membuat keputusan) perlu diilaj dengan tarbiyah dan perbincangan yang mendalam agar kita tidak lari dari kaedah yang sepatutnya.

Perkara yang sama boleh berlaku kepada kita dalam amal jamaie. Contohnya, dalam pemilihan akhawat untuk meletakkannya dalam post-post tertentu, perlu dipilih berdasarkan ciri-ciri yang dikehendaki (maudhui, eg: pakar dlm post tersebut, berpengalaman dll), jauh dari faktor-faktor perasaan (kasihan, kasih sayang). contoh: saya melantik A sebagai ketua biro wanita kerana saya lebih rapat dan lebih kenal si A berbanding akhawat yang lain. Sedangkan terdapat akhawat lain yang memenuhi kriteria-kriteria sebagai seorang ketua biro Wanita. Terlalu banyak contoh-contoh lain yang ingin penulis kongsikan di sini, tetapi cukuplah sekadar ini.

iii- Seorang pemimpin yang ikhlas dan peka, dapat menghidu fitnah yang mendatang dan menghindarinya dengan segera demi maslahat umum, dan jauh dari kepentingan peribadi. Abu Ubaidah segera memberhentikan khilaf yang berlaku ketika itu dengan terus mentaati Amru dan masuk ke dalam sof tentera Amru, bimbang jika beliau tidak bertindak segera akan menyebabkan pergaduhan dan perpecahan di kalangan muslimin dan seterusnya mengakibatkan kekalahan mereka di tangan musuh.

iv- Keputusan Amru adalah keputusan yang tepat kerana dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w sejurus selepas tentera muslimin pulang dari peperangan dan berjumpa baginda.

5. Seorang pemimpin perlu jelas dengan hadaf am dan marhali yang ingin dicapai dalam satu-satu amal. Kemudian meletakkan rangka kerja dan perancangan untuk mencapai hadaf tersebut. Sekiranya hadaf tersebut telah tercapai, maka dia hendaklah tidak berlebih-lebihan dan berpada dengannya kerana bimbang akan membawa kepada mudharat lain atau lari dari hadaf dan matlamat awal. Mari kita lihat contoh dari perang zat al-salasil ini...

Tujuan Rasulullah mengutuskan tentera Islam dalam perang Zat Al-Salasil adalah bagi memberi pengajaran kepada kabilah yang bersekongkol dengan Rom ketika perang Mu'tah.

Tentera Muslimin mengejar musuh yang telah kalah kerana hamasah (semangat) untuk menghancurkan musuh dan marampas ghanimah (tiada salahnya kerana ghanimah adalah hak mereka). Tetapi Amru Al-Asr mempunyai pandangan berbeza. Beliau melihat hadaf pengutusan tentera muslimin telah tercapai dengan kalahnya tentera lawan tanpa perlu mengejar tentera musuh. Maka beliau menghalang tentera muslimin dari terus mengejar, selain bimbang adanya tentera bantuan yang datang dari arah yang dikejar dan akan menyerang hendap tentera muslimin.

Seorang pemimpin perlu tahu mengawal hamasah (semangat) anak buah yang dibawah pimpinannya, kerana berlebihan dalam semangat boleh membawa kepada mudhorat dan futur di kemudian hari.

Memetik kata-kata sayyid Qutb dalam tafsir fi zilal quran, surah annisa' ayat 77:

"...sesungguhnya manusia yang berlebihan dalam hamasah boleh jadi mereka ini yang paling ragu, bimbang dan putus asa ketika berhadapan dengan waqi' yang sebenar. Bahkan ini mungkin boleh dijadikan satu kaedah, hamasah yang berlebihan selalunya adalah datang dari tidak mengetahui hakikat sesuatu taklifan, bukannya disebabkan keberanian dan keazaman. Juga boleh berlaku disebabkan tidak mengambilkira kemungkinan-kemungkinan kekalahan atau bahaya yang menolak mereka bergerak untuk kemenangan dengan apa bentuk sekalipun...."

6. Peristiwa Amru Al-Asr dan tayammum membawa kita kepada persoalan akhlak dalam menghadapi masalah khilaf dalam fiqh. Para sahabat menanyakan permasalahan tersebut kepada Rasulullah selepas kepulangan mereka. Ini menunjukkan bahawa ada di kalangan para sahabat yang tidak bersetuju dengan ijtihad Amru dalam soal tayammum bagi menggantikan mandi wajib dan menjadi imam solat Subuh. Tetapi dapat dilihat tiada seorang pun sahabat ketika itu yang enggan bersolat jemaah bersama Amru, atau mengulangi solat Subuh tersebut, bimbang ianya tidak diterima. Bahkan tiada seorang pun yang mengkritik Amru dengan mempertikaikan ijtihadnya kerana beliau baru memeluk Islam, maka beliau tidak mengetahui hukum fiqh dan tidak layak membuat ijtihad.

Tetapi apa yang berlaku di kalangan umat ketika ini berhubung dengan masalah khilaf adalah sangat menyedihkan. Kutuk mengutuk menjadi satu tradisi dan berkesinambungan sehingga menyebabkan pepecahan.

Lihat sahaja satu kaedah yang telah digariskan Imam Hasan Al-Banna dalam usul ke 8 dari usul 20 yang terkandung dalam risalah ta'lim:

والخلاف الفقهي في الفروع لا يكون سببا للتفرق في الدين، ولا يؤدي إلى خصومة ولا بغضاء ولكل مجتهد أجره، ولا مانع من التحقيق العلمي النزيه في مسائل الخلاف في ظل الحب في الله والتعاون على الوصول إلى الحقيقة، من غير أن يجر ذلك إلى المراء المذموم والتعصب.

Perselisihan pendapat dalam perkara furu' fekah tidak sepatutnya menjadi sebab
kepada berlakunya perpecahan di dalam agama, juga janganlah ia membawa kepada
perbalahan dan kemarahan antara satu sama lain. Setiap mujtahid ada pahalanya. Tidak
ada halangan jika dilakukan pengkajian ilmiah secara bersih dalam masalah yang
diperselisihkan ini jika dilakukan dalam suasana kasih mengasihi kerana Allah dan bantu
membantu untuk sampai kepada suatu hakikat dengan syarat tidak membawa kepada
perbahasan cara buruk dan perasaan taasub.

Bersambung......

Pedoman buat qaid dan jundi di jalan dakwah


تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنتي

Aku meninggalkan 2 perkara, yang jika kamu berpegang pada keduanya, selamanya kamu tidak akan sesat: Kitabullah dan sunnah ku


Sungguh pada sunnah junjungan mulia, nabi Muhammad s.a.w terkandung di dalamnya pengajaran dan pedoman tarbawi yang sangat berharga buat umat ini. Baginda telah menghasilkan satu generasi terbaik dalam sejarah peradaban manusia. Generasi pertama umat ini yang telah melaksanakan amanah dakwah, mereka telah menyampaikan kalimah Allah ke seluruh ufuk dunia, mereka telah berjihad dengan sepenuh jerih dan perit demi memastikan hukum Allah itulah yang tertinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya. Justeru Sirah perjalanan generasi pertama ini perlulah sentiasa dijadikan contoh tauladan bagi generasi mendatang yang berazam mengulangi kegemilangan dan kembali mengembalikan tampuk pemerintahan dunia kepada Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w:
خير القرون قرني، ثم الذين يلونهم، ثم الذين يلونهم
Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun selepas itu, kemudian kurun selepas itu

Zat Al-Salasil

Akhawat disayangi sekalian...berapa ramai antara kita pernah mendengar kisah perang zat al-salasil? Kisah ini padat dan sarat dengan pengajaran dan ibrah-ibrah tarbawi untuk kita hayati dan amalkan......mari kita soroti kisah ini

Rasulullah s.a.w mengutuskan tentera di bawah kepimpinan panglima perang Amru Al-Asr (yang keislamannya ketika itu baru mencecah 4 bulan), ke Zat Al-Salasil untuk memerangi qabilah Arab yang bersekongkol dengan pihak Rom menentang tentera muslimin dalam perang Mu'tah. Dan dikalangan tentera tersebut adalah sahabat-sahabat besar Rasulullah, antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Perincian perjalanan perang ini tidak akan diceritakan di sini, bagi menfokuskan pembaca kepada hanya peristiwa-peristiwa penting dan ibrah disebalik peristiwa penting ini. Berikut merupakan 4 situasi yang berlaku ketika perang zat al-salasil yang penuh dengan pengajaran tarbawi untuk direnungi:

1. Amru, Abu Bakar, Umar dan unggun api

Cuaca ketika itu tersangatlah sejuk dan dingin. Maka tentera muslimin meminta supaya Amru Al-Asr mengizinkan mereka menyalakan api, tetapi malangnya permintaan tersebut tidak dibenarkan. Ketika cuaca bertambah sejuk, Umar Al-Khattab meminta Abu Bakar supaya meminta izin sekali lagi untuk menyalakan unggun api. Sejurus sahaja Abu Bakar menyatakan permintaan tersebut, lantas Amru Al-Asr menjawab dengan tegas:

"Tiada siapa yang dibenarkan menyalakan api, melainkan akan ku campakkan ia ke dalam api tersebut!"

Kata-kata Amru Al-Asr ini membangkitkan kemarahan Umar Al-Khattab. Lantas Abu Bakar segera menenangkannya seraya berkata:

"Wahai Umar, sesungguhnya Rasulullah telah memerintahkan kita supaya mentaati dan tidak mengingkari. Rasulullah s.a.w telah melantik Amru sebagai panglima ke atas kita, kerana dia lebih berpengalaman dalam taktik dan seni peperangan"

2. Pengutusan tentera bantuan yang diketuai Abu Ubaidah bin Jarrah kepada tentera di bawah Amru Al-Asr.

Sebaik tiba Abu Ubaidah bersama tenteranya, beliau ingin mengimani solat jemaah bersama tentera-tenteranya. Tetapi, lantas ditegah oleh Amru Al-Asr seraya berkata:

"Sebenarnya kau sampai di sini sebagai bantuan tetapi akulah amir (ketua)."

Sebahagian sahabat membangkang: "Tidak, bahkan engkau adalah ketua kepada tenteramu dan Dia (Abu Ubaidah) adalah ketua kepada tenteranya (tentera bantuan)."

Abu Ubaidah lantas membenarkan kata-kata Amru Al-Asr. Maka Amru Al-Asr pun mengimamkan sekalian yang hadir.

3. Imam solat Subuh dan peristiwa tayammum.

Amru Al-Asr ber'mimpi' pada salah satu malam dari malam-malam zat al-salasil, Disebabkan cuaca pada malam tersebut terlalu dingin, Amru Al-Asr mengambil keputusan untuk tidak mandi wajib sebaliknya hanya bertayamum walaupun dengan kewujudan air. Kemudian, beliau mengimami solat Subuh pada keesokan harinya.

4. Tegahan mengejar tentera musuh

Selepas tentera muslimin berjaya mengalahkan pihak musuh dalam peperangan, mereka segera mengejar musuh dari belakang tetapi tindakan ini dihalang oleh ketua panglima perang muslimin, Amru Al-Asr.

Selepas pulang dari perang Zat Al-Salasil, para sahabat berjumpa dengan rasulullah s.a.w dan mengadu perihal ketua perang mereka Amru Al-Asr berkenaan 4 perkara di atas. Lantas, Rasulullah memanggil beliau dan menanyakan berkenaan 4 perkara tersebut.

Jawapan Amru Al-Asr kepada Rasulullah s.a.w

1) Beliau menegah unggun api dinyalakan, kerana bimbang tentera musuh akan dapat mengesani kehadiran tentera muslimin dan seterusnya menyerang hendap mereka.

2) Beliaulah yang meminta tentera bantuan dari Rasulullah, maka tentera bantuan tersebut haruslah bergabung dengan tentera yang sedia ada di bawah kepimpinannya, ia bukanlah tentera pasukan yang berlainan.

3) Beliau menghalang pasukan tentera muslimin mengejar musuh kerana bimbang adanya tentera bantuan yang akan membantu pihak musuh datang dari arah yang dikejar.

3) Beliau bertayamum walaupun dengan kewujudan air kerana binbangkan mudarat akibat menggunakan air di malam yang dingin. Lantas, Amru Al-Asr membacakan potongan ayat dari Surah An-Nisa':
(وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا (29

Rasulullah s.a.w ketawa mendengar jawapan Amru Al-Asr dan kemudian senyap. (tanda Rasulullah mengiyakan tindakan Amru Al-Asr)

Kemudian Amru Al-Asr bertanya kepada rasulullah s.a.w:
"Siapakah manusia yang paling kau cintai?"

Rasulullah: "Aisyah"

Amru: " Bukan itu yang ku maksudkan..."

Rasulullah: "(jika begitu) Bapanya"

Amru: "kemudian siapa?"

Rasulullah: "Umar"

Amru terus bertanya siapakah yang dicintai Rasulullah dan Rasulullah menjawab dengan beberapa nama selainnya sehingga beliau menyangka bahawa Rasulullah s.a.w tidak akan menyebut namanya, lantas beliau berhenti dari terus bertanya.

Bersambung.......(sambungan akan menyentuh perihal ibrah dan pengajaran dari peristiwa-peristiwa di atas)

Nantikan!

Aminah Al - Jauhari...memimpin amal akhawat dari katil sakit

Beliau adalah seorang wanita agung, pedoman dan contoh tauladan bagi generasi penerus kelansungan dakwah. Merupakan seorang pesakit kencing manis dan sakit jantung. Walaubagaimanapun, sakit yang ditanggung tidak menjadi alasan untuk beliau berlepas diri dari melaksanakan kewajipan dan tuntutan-tuntutan dakwah, beliau tidak sekali-kali berdiam diri dalam berhadapan dengan taghut dan sekutunya, bahkan beliau sentiasa meniupkan ruh dan semangat jihad ketika mana ketakutan dan kebimbangan menyerang dan menyusup masuk ke dalam jiwa-jiwa pemuda Islam. Sehingga akhirnya beliau menjadi tahanan rejim Jamal Abdul Nasir atas alasan mengetuai gerakan akhawat, sedangkan beliau sentiasa terlantar di atas katil sakit!

Beliau adalah Aminah Ali, dan lebih dikenali sebagai Aminah al-jauhari (bersempena nama suaminya Ustaz Mahmud Al-Jauhari). Perkahwinan barakah ini berlaku pada tahun 1930 dan dengan rahmatNya, Allah membuka pintu hati mereka untuk mengenali dakwah ikhwan 5 tahun selepas perkahwinan barakah tersebut.

Aminah Ali bukanlah seorang yang berkelulusan tinggi. Beliau tidak mempunyai sebarang ijazah kelulusan universiti. Tetapi beliau merupakan seorang yang banyak membaca dan menulis serta banyak menghafal ayat-ayat suci Al-Quran. Dan kelebihan ini digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan fikrah islamiah dan ikhwaniah kepada masyarakat sekelilingnya melalui pengajaran kelas-kelas di masjid-masjid yang kebanyakannya dihadiri oleh golongan isteri, ibu dan pemudi ikhwan

Dalam amal qisim akhawat, suami beliau diamanahkan sebagai setiausaha dan penghubung terus qisim akhawat kepada mursyid am Ikhwan Muslimin, Imam Syahid Hasan Al-Banna. Beliau pula dilantik sebagai bendahari dan pemegang amanah kewangan qisim akhawat. Qisim akhawat memainkan peranan yang sangat besar dalam amal dakwah ikhwan ketika itu. Antara aktiviti yang dilakukan adalah mendirikan sekolah untuk anak-anak yatim dan miskin di syari' bustan fadhil, munira. Sekolah ini menyediakan tenaga pengajar yang terdiri daripada akhawat sendiri yang terpelajar dan berkemahiran. Walaubagaimanapun, pada tahun 1948 ia ditutup oleh pihak penguasa ketika itu.

Qisim akhawat juga memainkan peranan yang sangat besar dalam meneguhkan iman, prinsip dan pendirian ikhwan-ikhwan yang ditangkap oleh kerajaan. Mereka menyediakan pakaian, makanan untuk ikhwan-ikhwan yang berada dalam tahanan penjara. Selain itu, mereka juga sentiasa menziarahi isteri-isteri dan keluarga-keluarga ikhwan yang dipenjara serta membantu mereka dari aspek kewangan dan sokongan moral. Segala keperluan dan aduan mereka akan dipenuhi dan dibantu sedayanya.

Pada 1965m, tahun yang menyaksikan syahidnya tokoh agung ikhwan muslimin, Sayyid Qutb, seramai lebih daripada 200 orang akhawat ditangkap dan dipenjarakan termasuklah Aminah Ali.

Semasa dalam tahanan rejim Jamal Abdul Nasir ini, sakit yang dihidapi oleh Aminah Ali menjadi semakin serius. Beliau seringkali jatuh pengsan akibat penyakit kencing manis. Bahkan, sakitnya menjadi semakin serius disebabkan pihak penjara menyediakan roti dan asal iswid sebagai makanan rutin penjara yang pada hakikatnya adalah makanan terlarang bagi pengidap sakit kencing manis. Sakit beliau yang semakin hari semakin kronik ini akhirnya menyebabkan pihak penjara merancang supaya beliau dikeluarkan bagi tidak menyusahkan pihak pengurusan penjara jika sekiranya beliau mati dalam tahanan. Perancangan ini dilakukan dengan menawarkan pertukaran pertuduhan Aminah Ali dengan suaminya (yang ketika itu juga dalam tahanan) . Ini bermakna segala pertuduhan dan kesalahan yang disabitkan ke atas Aminah Ali akan dipikul oleh Ustaz Mahmud Al-jauhari. Persetujuan dimateri, maka Aminah Ali dibebaskan dengan harapan pihak penjara beliau akan mati tidak lama kemudian di luar penjara. Walaubagaimanapun perancangan Allah itu mendahului perancangan musuhNya. Allah mentakdirkan dan menghendaki Aminah Ali hidup selama 15 tahun selepas pembebasannya dari penjara dan sepanjang tempoh itu beliau tetap thabat dalam menyampaikan risalah Islam kepada manusia.

Beliau merupakan khudwah bukan sahaja sebagai seorang pembawa risalah yang amanah, tetapi juga sebagai seorang isteri yang taat dan ibu yang sabar dan redha dengan ketentuan Allah. Apabila mendapat pengkhabaran kesyahidan anaknya yang pergi berjihad menentang Yahudi laknatullah dalam perang Oktober 1973, tiada yang terucap keluar dari bibirnya melainkan kalimah "Alhamdulillah, syukur ke atasMu yang telah memuliakan aku dengan kesyahidannya"

Ustaz Mahmud Al-Jauhari dalam bukunya bertajuk Al-akhawat Al-Muslimat, beliau menggambarkan isterinya sebagai seorang yang tidak pernah lalai dari tanggungjawabnya sebagai isteri walaupun sibuk dengan tugasan-tugasan dakwah. Hari-harinya dimulakan dengan menunaikan tanggungjawabnya di dalam rumah dan terhadap suami dan anak-anak. Setelah selesai, beliau akan keluar untuk memberi ceramah-ceramah di masjid-masjid dan melaksanakan amal-amal dakwah. Dan pada tengaharinya pula, beliau akan kembali ke rumah untuk bersedia menyambut kepulangan suaminya.

Aminah Ali dijemput menghadap rabNya pada tahun 1980. Suami beliau selepas itu terus setia dengan janji mereka untuk terus thabat dalam dakwah dan akhirnya meninggal dunia 24 tahun kemudian iaitu pada tahun 2004. Moga kebahagian di alam sana menjadi milik mereka yang mutlak selepas segala penat lelah dan perit jerih di dunia yang fana ini.

Sesungguhnya, beliau telah setia pada janjinya dengan Allah dan rasul dalam memperjuangkan agama ini. Beliau telah membuktikan bahawa risalah ini adalah begitu mahal berbanding dengan harga sebuah kehidupan. Justeru, beliau tidak ragu-ragu mengorbankan seluruh kehidupannya demi mengotakan janji tersebut, walau berperang dengan kesakitan dan ketidakupayaan. Semoga ruh semangatnya terus mekar mewangi dan terus menjadi motivasi buat kita pewaris dakwah ini.

Padanya terdapat hikmah...

" Maka kamu tidak akan mendapati pada sunnatullah itu perubahan, dan kamu tidak akan mendapati pada sunnatullah itu penyimpangan." (Fatir:43)

"Kenapalah asyik aku saja yang sakit."

"Aku dah usaha sehabis mungkin, tapi tak pernah dapat keputusan cemerlang. Si A tu pula, sudahlah malas tapi mumtaz sokmo"

"Pindah rumah lagi! Penat la tiap-tiap tahun pun nak kena pindah. Kenapalah jadi kat aku musibah ni!."

Itulah bisikan-bisikan yang sentiasa bermain-main di hati manusia. Bisikan-bisikan yang bisa melemahkan iman kepada ketetapan dan keinginan Ilahi. Bisikan-bisikan yang bisa mempersoalkan keadilan Al-Khaliq dalam merencana kehidupan manusia. Bisikan-bisikan yang jika dibiarkan tanpa rawatan, bisa membarah dan merosakkan pegangan akidah si pembisik.

Setiap kita akan diuji. Setiap yang diuji, akan ada yang lulus, tetapi lebih ramai lagi yang akan gagal. Kerana ujian itu adalah satu saringan. Saringan bagi menilai siapa yang lebih benar imannya di sisi Allah. Kerana iman itu manifestasinya sabar dan redha.

'Qaddarallah ma sya' faal', satu ungkapan yang melapangkan dada. Menutup pintu bisikan-bisikan jahat. Menanam hakikat bahawa kekuasaan itu adalah di tangan Allah yang Maha Kuasa. Dialah yang inginkan sesuatu berlaku kepada hambanya, justeru pasti di sebaliknya terkandung 1001 kebaikan yang tidak terduga. 'Wa kullu amrin lihikmah'

"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir
(yang telah ditentukan)." Al-Qamar 49

Menyelusuri sirah junjungan mulia Rasululah s.a.w dan para sahabat, pasti kita akan merasakan pengajaran besar yang sangat berguna buat kita, umat yang datang kemudian.

Maa'ni-maa'ni dan pengajaran-pengajaran ini kekal untuk dihayati dan diamati. Dan bagi menghayati 'Wa kullu amrin lihikmah', suka penulis kongsikan di sini kisah peperangan Uhud. Kisah yang merupakan satu musibah besar buat muslimin ketika itu. Musibah ini begitu mengejutkan muslimin ketika itu ibarat mereka berada dalam bilik yang diterangi lampu yang terang benderang dan secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan meletakkan mereka di dalam kegelapan yang menakutkan! Musibah yang mengorbankan70 orang syuhada' dan antaranya adalah saiidus syuhada' Saidina Hamzah dan duta rasulullah ke madinah, Mus'ab bin Umair.

Kisah perang Uhud sangat tragis untuk diingati. Rasulullah disakiti sehingga mengalir darah dari wajah baginda yang mulia dek tusukan utaiann rantai besi. Darah mengalir dengan begitu banyak sehingga setiap kali air dicurah ke atasnya, semakin banyak pula yang mengalir keluar. Sehinggakan luka tersebut terpaksa ditampal dengan tikar yang dibakar bagi menghentikan pendarahan. Topi perang rasulullah pula patah dan pecah di kepalanya. Gigi di antara gigi taring dan gigi kacip baginda patah. Dan yang lebih menyedihkan ialah pemergian bapa saudaranya yang sangat dicintainya. Tubuh Hamzah diburaikan dan organnya dikeluarkan. Betapa sukarnya keadaan ketika itu sehinggakan baginda bersabda: "Aku tidak pernah berada dalam sesuatu keadaa yang lebih menyakitkan aku berbanding keadaan ini."

Namun Allah punya perancangannya yang tersendiri. Allah mengizinkan musibah ini berlaku. Allah mengizinkan taktik perang Khalid Al Walid berjaya dengan menakluk bukit 'rama' dan seterusnya menyerang muslimin dari belakang. Kesemuanya dalam perkiraan Allah. Allah taala tidak mengizinkan sesuatu itu berlaku melainkan disebaliknya hikmah yang tak ternilai bukan sahaja buat muslimin ketika itu tetapi untuk turut diwariskan kepada kita generasi yang tidak pernah berkesempatan hidup dalam kurun yang disifatkan sebagai kurun terbaik sepanjang perjalanan hidup umat manusia.

Apakah hikmah-hikmah tersembunyi tersebut?? bersambung......