Pedoman buat qaid dan jundi di jalan dakwah


تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنتي

Aku meninggalkan 2 perkara, yang jika kamu berpegang pada keduanya, selamanya kamu tidak akan sesat: Kitabullah dan sunnah ku


Sungguh pada sunnah junjungan mulia, nabi Muhammad s.a.w terkandung di dalamnya pengajaran dan pedoman tarbawi yang sangat berharga buat umat ini. Baginda telah menghasilkan satu generasi terbaik dalam sejarah peradaban manusia. Generasi pertama umat ini yang telah melaksanakan amanah dakwah, mereka telah menyampaikan kalimah Allah ke seluruh ufuk dunia, mereka telah berjihad dengan sepenuh jerih dan perit demi memastikan hukum Allah itulah yang tertinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya. Justeru Sirah perjalanan generasi pertama ini perlulah sentiasa dijadikan contoh tauladan bagi generasi mendatang yang berazam mengulangi kegemilangan dan kembali mengembalikan tampuk pemerintahan dunia kepada Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w:
خير القرون قرني، ثم الذين يلونهم، ثم الذين يلونهم
Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun selepas itu, kemudian kurun selepas itu

Zat Al-Salasil

Akhawat disayangi sekalian...berapa ramai antara kita pernah mendengar kisah perang zat al-salasil? Kisah ini padat dan sarat dengan pengajaran dan ibrah-ibrah tarbawi untuk kita hayati dan amalkan......mari kita soroti kisah ini

Rasulullah s.a.w mengutuskan tentera di bawah kepimpinan panglima perang Amru Al-Asr (yang keislamannya ketika itu baru mencecah 4 bulan), ke Zat Al-Salasil untuk memerangi qabilah Arab yang bersekongkol dengan pihak Rom menentang tentera muslimin dalam perang Mu'tah. Dan dikalangan tentera tersebut adalah sahabat-sahabat besar Rasulullah, antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Perincian perjalanan perang ini tidak akan diceritakan di sini, bagi menfokuskan pembaca kepada hanya peristiwa-peristiwa penting dan ibrah disebalik peristiwa penting ini. Berikut merupakan 4 situasi yang berlaku ketika perang zat al-salasil yang penuh dengan pengajaran tarbawi untuk direnungi:

1. Amru, Abu Bakar, Umar dan unggun api

Cuaca ketika itu tersangatlah sejuk dan dingin. Maka tentera muslimin meminta supaya Amru Al-Asr mengizinkan mereka menyalakan api, tetapi malangnya permintaan tersebut tidak dibenarkan. Ketika cuaca bertambah sejuk, Umar Al-Khattab meminta Abu Bakar supaya meminta izin sekali lagi untuk menyalakan unggun api. Sejurus sahaja Abu Bakar menyatakan permintaan tersebut, lantas Amru Al-Asr menjawab dengan tegas:

"Tiada siapa yang dibenarkan menyalakan api, melainkan akan ku campakkan ia ke dalam api tersebut!"

Kata-kata Amru Al-Asr ini membangkitkan kemarahan Umar Al-Khattab. Lantas Abu Bakar segera menenangkannya seraya berkata:

"Wahai Umar, sesungguhnya Rasulullah telah memerintahkan kita supaya mentaati dan tidak mengingkari. Rasulullah s.a.w telah melantik Amru sebagai panglima ke atas kita, kerana dia lebih berpengalaman dalam taktik dan seni peperangan"

2. Pengutusan tentera bantuan yang diketuai Abu Ubaidah bin Jarrah kepada tentera di bawah Amru Al-Asr.

Sebaik tiba Abu Ubaidah bersama tenteranya, beliau ingin mengimani solat jemaah bersama tentera-tenteranya. Tetapi, lantas ditegah oleh Amru Al-Asr seraya berkata:

"Sebenarnya kau sampai di sini sebagai bantuan tetapi akulah amir (ketua)."

Sebahagian sahabat membangkang: "Tidak, bahkan engkau adalah ketua kepada tenteramu dan Dia (Abu Ubaidah) adalah ketua kepada tenteranya (tentera bantuan)."

Abu Ubaidah lantas membenarkan kata-kata Amru Al-Asr. Maka Amru Al-Asr pun mengimamkan sekalian yang hadir.

3. Imam solat Subuh dan peristiwa tayammum.

Amru Al-Asr ber'mimpi' pada salah satu malam dari malam-malam zat al-salasil, Disebabkan cuaca pada malam tersebut terlalu dingin, Amru Al-Asr mengambil keputusan untuk tidak mandi wajib sebaliknya hanya bertayamum walaupun dengan kewujudan air. Kemudian, beliau mengimami solat Subuh pada keesokan harinya.

4. Tegahan mengejar tentera musuh

Selepas tentera muslimin berjaya mengalahkan pihak musuh dalam peperangan, mereka segera mengejar musuh dari belakang tetapi tindakan ini dihalang oleh ketua panglima perang muslimin, Amru Al-Asr.

Selepas pulang dari perang Zat Al-Salasil, para sahabat berjumpa dengan rasulullah s.a.w dan mengadu perihal ketua perang mereka Amru Al-Asr berkenaan 4 perkara di atas. Lantas, Rasulullah memanggil beliau dan menanyakan berkenaan 4 perkara tersebut.

Jawapan Amru Al-Asr kepada Rasulullah s.a.w

1) Beliau menegah unggun api dinyalakan, kerana bimbang tentera musuh akan dapat mengesani kehadiran tentera muslimin dan seterusnya menyerang hendap mereka.

2) Beliaulah yang meminta tentera bantuan dari Rasulullah, maka tentera bantuan tersebut haruslah bergabung dengan tentera yang sedia ada di bawah kepimpinannya, ia bukanlah tentera pasukan yang berlainan.

3) Beliau menghalang pasukan tentera muslimin mengejar musuh kerana bimbang adanya tentera bantuan yang akan membantu pihak musuh datang dari arah yang dikejar.

3) Beliau bertayamum walaupun dengan kewujudan air kerana binbangkan mudarat akibat menggunakan air di malam yang dingin. Lantas, Amru Al-Asr membacakan potongan ayat dari Surah An-Nisa':
(وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا (29

Rasulullah s.a.w ketawa mendengar jawapan Amru Al-Asr dan kemudian senyap. (tanda Rasulullah mengiyakan tindakan Amru Al-Asr)

Kemudian Amru Al-Asr bertanya kepada rasulullah s.a.w:
"Siapakah manusia yang paling kau cintai?"

Rasulullah: "Aisyah"

Amru: " Bukan itu yang ku maksudkan..."

Rasulullah: "(jika begitu) Bapanya"

Amru: "kemudian siapa?"

Rasulullah: "Umar"

Amru terus bertanya siapakah yang dicintai Rasulullah dan Rasulullah menjawab dengan beberapa nama selainnya sehingga beliau menyangka bahawa Rasulullah s.a.w tidak akan menyebut namanya, lantas beliau berhenti dari terus bertanya.

Bersambung.......(sambungan akan menyentuh perihal ibrah dan pengajaran dari peristiwa-peristiwa di atas)

Nantikan!

3 comments:

Puteri said...

ana tunggu kak Rai

raihana said...

Mira, jzkk sudi baca. Mira bila nak update blog? Teringin belajar seni meluis dari Mira.

Anonymous said...

tgh syok2 baca tibe2 bersambung plk..kite pun tunggu jg ni..sambung tau!..-mama khaled-

Post a Comment