Pedoman buat qaid dan jundi di jalan Allah..bahagian 2

Akhawat disayangi kerana Allah, entry kali ini insya Allah berkisar durus (pengajaran) dari kisah zat al-salasil (diceritakan dalam entry yang lepas). Perlu diingatkan pembelajaran sirah Rasulullah, para sahabat dan ummat terdahulu bukanlah bertujuan semata-mata untuk kita mengetahui dan merasai semangat perjuangan mereka, tetapi yang jauh lebih penting daripada itu ialah pengajaran dan hikmah yang dapat diambil untuk diaplikasikan dalam kehidupan kita ummat akhir zaman ini. Jadi, entry kali ini agak berat dan memerlukan persediaan mental kerana penulis mengajak kalian untuk sama-sama berfikir dan mengeluarkan pengajaran tersurat dan 'tatbik amali'. Jadi penulis mulakan dengan kalimah بسم الله الرحمن الرحيم

1. Rasulullah s.a.w memilih Amru Al-Asr sebagai ketua panglima perang ketika itu walaupun tempoh pengislaman Amru ketika itu baru mencecah 4 bulan. Dan di kalangan tentera muslimin ketika itu, terdapat ramai para sahabat yang lebih lama dan telah teruji keimanan dan keislaman mereka sejak dari Mekah lagi di antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khottob.

Ini menunjukkan kepimpinan dan jawatan boleh diberi kepada seseorang yang baru menyertai dakwah ini selagi mana bidang dan tugasan tersebut bersesuaian dan mampu dilaksanakan dengan baik, walaupun di sana terdapat mereka yang lebih 'senior' dalam dakwah. Dalam masa yang sama, ia boleh menjadi satu latihan bagi mereka yang baru dalam amal jamaie.

Perlaksanaan ini juga menunjukkan bahawa amal dakwah ini sepatutnya dipikul semua lapisan dalam jemaah, tidak hanya dilonggokkan pada individu-individu tertentu (dalam konteks jemaah merujuk kepada pimpinan dan senior). Pembahagian amal yang baik dalam konteks amal jamaie dapat meningkatkan fokus dan keberkesanan amal.

2. Pemilihan Amru Al-Asr juga merupakan satu bentuk pentarbiyahan kepada para sahabat yang lebih lama dalam Islam untuk mentaati kepimpinan yang telah dilantik walaupun pemimpin tersebut adalah baru.

Dapat dilihat dalam maukif Abu Bakar ketika peristiwa unggun api. Sebaik sahaja Amru Al-Asr berkasar dan berkeras enggan membenarkan unggun api dipasang, Abu Bakar terus patuh dan akur tanpa membalas kata-kata Amru yang kasar. Sedangkan beliau boleh sahaja membalas kata-kata Amru seperti: "Engkau baru sahaja Islam 4 bulan, tetapi aku telah bersama-sama Rasulullah hampir 20 tahun sejak wahyu pertama, bahkan akulah yang pertama memeluk Islam. Kenapakah engkau begitu tidak beradap denganku? Siapakah engkau untuk aku taati? Sepatutnya aku yang menjadi ketua bukannya engkau. "

Abu Bakar bukan sahaja telah menunjukkan qudwah yang sangat mulia sebagai seorang jundi, bahkan beliau turut menasihati Umar supaya bertenang dan mentaati Amru. Perkara ini sangat penting untuk direnungi terutama bagi mereka yang biasa memegang tampuk kepimpinan.

Ketahuilah bahawa Jundiyah Torik Al-Qiyadah. Seseorang mampu menjadi pemimpin yang baik hanya apabila ia mampu menjadi jundi yang baik. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

ولواستعمل عليكم عبديقودكم بكتاالله إسمعواله وأطيعوا

“Walaupun yang memerintah kamu itu seorang abdi yang memimpin
kamu dengan kitab Allah..... patuhlah kepadanya dan taatilah.”

Suka saya bawakan juga hadith yang menunjukkan betapa keinginan terhadap jawatan dan kepimpinan adalah satu perkara terlarang, ditujukan buat mereka yang biasa memegang tampuk kepimpinan dan juga buat mereka yang pernah terlintas untuk memegang amanah seorang pemimpin :

إنا لا نولى هذا من سأله ولا من حرص عليه

"Sesungguhnya kami tidak akan melantik(sebagai pemimpin) mereka yang mengatakan keinginan secara terang mahupun mereka yang mengatakan secara senyap"

Betapa kita sangat ketandusan peribadi seperti Abu Bakar ini. Dan betapa perlunya kita melahirkan peribadi-peribadi seperti ini dengan tarbiyah yang berterusan dan mendalam.

3. Seorang yang dilantik menjadi pemimpin, mempunyai hak berijtihad dalam mengambil satu-satu qarar (keputusan) berdasarkan pengalaman dan ilmunya. Qarar tersebut selepas itu perlu dimuhasabah supaya ia boleh diperbaiki pada masa akan datang. Dapat dilihat Rasulullah memberi ruang buat Amru untuk melakukan ijtihad. Amru juga, memainkan peranan yang baik sebagai seorang pemimpin dengan melakukan ijtihad sendiri tanpa meminta semua keputusan dibuat Rasulullah s.a.w. Dan Rasulullah selepas itu melakukan mutabaah atau follow up supaya qarar dan keputusan yang dibuat adalah bertepatan dan bersesuaian. Apabila proses ijtihad dan muhasabah ini berjalan dengan baik, sifat kepimpinan seseorang akan mampu dibina.

Sesuatu yang menyedihkan, berlaku dalam sesetengah Jemaah Islamiah, keputusan penuh hanya terletak pada pimpinan teratas. Ahli yang dilantik sebagai pimpinan kecil (eg: ketua biro) langsung tiada hak untuk membuat keputusan, mereka hanya mentanfiz keinginan pihak atasan sahaja. Jemaah yang sebegini hanya melahirkan ahli yang taat membuta-tuli "طاعة عمياء"
dan boleh memberi kesan jangka masa panjang yang buruk seperti tiada lapisan kepimpinan dan jemaah terpesong dari hadaf dan syariat.

4. Peristiwa pertelingkahan di kalangan sahabat berkenaan Abu Ubaidah sebagai pemimpin tentera bantuan, dan tidak perlu masuk ke dalam sof pimpinan sedia ada. Di sini, terdapat 4 pengajaran penting:

i- Perlu difahami bahawa khilaf yang berlaku di kalangan sahabat ketika itu bukanlah khilaf kerana tamakkan kepimpinan dan keduniaan, tetapi ia adalah khilaf kerana urusan pentadbiran dan penyusunan tanzim.

ii- Sebab berlakunya khilaf dikalangan sebahagian sahabat yang inginkan Abu Ubaidah kekal sebagai pemimpin adalah kerana mereka terkesan dengan peribadi Abu Ubaidah yang mulia. Abu Ubaidah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai أمين الأمة (pemegang amanah ummat ini). Disebabkan keperibadian yang mulia ini, mereka melihat Abu Ubaidah tidak sepatutnya masuk kedalam sof tentera Amru, tetapi perlu menjadi pemimpin bagi tenteranya sendiri. Perlu dilihat dalam soal ini, timbangan yang menjadi kayu ukur dalam menentukan kedudukan Abu Ubaidah sebagai pemimpin atau tentera Amru, adalah timbangan pentadbiran dan tanzim bukannya timbangan siapa yang lebih baik dan afdhal (timbangan atifi dan perasaan). Mengikut kaedah penyusunan tanzim, tentera bantuan perlu bersatu di bawah tentera utama, bukannya berpecah sebagai pasukan berasingan.

Masalah yang berlaku (meletakkan timbangan atifi dan perasaan dalam membuat keputusan) perlu diilaj dengan tarbiyah dan perbincangan yang mendalam agar kita tidak lari dari kaedah yang sepatutnya.

Perkara yang sama boleh berlaku kepada kita dalam amal jamaie. Contohnya, dalam pemilihan akhawat untuk meletakkannya dalam post-post tertentu, perlu dipilih berdasarkan ciri-ciri yang dikehendaki (maudhui, eg: pakar dlm post tersebut, berpengalaman dll), jauh dari faktor-faktor perasaan (kasihan, kasih sayang). contoh: saya melantik A sebagai ketua biro wanita kerana saya lebih rapat dan lebih kenal si A berbanding akhawat yang lain. Sedangkan terdapat akhawat lain yang memenuhi kriteria-kriteria sebagai seorang ketua biro Wanita. Terlalu banyak contoh-contoh lain yang ingin penulis kongsikan di sini, tetapi cukuplah sekadar ini.

iii- Seorang pemimpin yang ikhlas dan peka, dapat menghidu fitnah yang mendatang dan menghindarinya dengan segera demi maslahat umum, dan jauh dari kepentingan peribadi. Abu Ubaidah segera memberhentikan khilaf yang berlaku ketika itu dengan terus mentaati Amru dan masuk ke dalam sof tentera Amru, bimbang jika beliau tidak bertindak segera akan menyebabkan pergaduhan dan perpecahan di kalangan muslimin dan seterusnya mengakibatkan kekalahan mereka di tangan musuh.

iv- Keputusan Amru adalah keputusan yang tepat kerana dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w sejurus selepas tentera muslimin pulang dari peperangan dan berjumpa baginda.

5. Seorang pemimpin perlu jelas dengan hadaf am dan marhali yang ingin dicapai dalam satu-satu amal. Kemudian meletakkan rangka kerja dan perancangan untuk mencapai hadaf tersebut. Sekiranya hadaf tersebut telah tercapai, maka dia hendaklah tidak berlebih-lebihan dan berpada dengannya kerana bimbang akan membawa kepada mudharat lain atau lari dari hadaf dan matlamat awal. Mari kita lihat contoh dari perang zat al-salasil ini...

Tujuan Rasulullah mengutuskan tentera Islam dalam perang Zat Al-Salasil adalah bagi memberi pengajaran kepada kabilah yang bersekongkol dengan Rom ketika perang Mu'tah.

Tentera Muslimin mengejar musuh yang telah kalah kerana hamasah (semangat) untuk menghancurkan musuh dan marampas ghanimah (tiada salahnya kerana ghanimah adalah hak mereka). Tetapi Amru Al-Asr mempunyai pandangan berbeza. Beliau melihat hadaf pengutusan tentera muslimin telah tercapai dengan kalahnya tentera lawan tanpa perlu mengejar tentera musuh. Maka beliau menghalang tentera muslimin dari terus mengejar, selain bimbang adanya tentera bantuan yang datang dari arah yang dikejar dan akan menyerang hendap tentera muslimin.

Seorang pemimpin perlu tahu mengawal hamasah (semangat) anak buah yang dibawah pimpinannya, kerana berlebihan dalam semangat boleh membawa kepada mudhorat dan futur di kemudian hari.

Memetik kata-kata sayyid Qutb dalam tafsir fi zilal quran, surah annisa' ayat 77:

"...sesungguhnya manusia yang berlebihan dalam hamasah boleh jadi mereka ini yang paling ragu, bimbang dan putus asa ketika berhadapan dengan waqi' yang sebenar. Bahkan ini mungkin boleh dijadikan satu kaedah, hamasah yang berlebihan selalunya adalah datang dari tidak mengetahui hakikat sesuatu taklifan, bukannya disebabkan keberanian dan keazaman. Juga boleh berlaku disebabkan tidak mengambilkira kemungkinan-kemungkinan kekalahan atau bahaya yang menolak mereka bergerak untuk kemenangan dengan apa bentuk sekalipun...."

6. Peristiwa Amru Al-Asr dan tayammum membawa kita kepada persoalan akhlak dalam menghadapi masalah khilaf dalam fiqh. Para sahabat menanyakan permasalahan tersebut kepada Rasulullah selepas kepulangan mereka. Ini menunjukkan bahawa ada di kalangan para sahabat yang tidak bersetuju dengan ijtihad Amru dalam soal tayammum bagi menggantikan mandi wajib dan menjadi imam solat Subuh. Tetapi dapat dilihat tiada seorang pun sahabat ketika itu yang enggan bersolat jemaah bersama Amru, atau mengulangi solat Subuh tersebut, bimbang ianya tidak diterima. Bahkan tiada seorang pun yang mengkritik Amru dengan mempertikaikan ijtihadnya kerana beliau baru memeluk Islam, maka beliau tidak mengetahui hukum fiqh dan tidak layak membuat ijtihad.

Tetapi apa yang berlaku di kalangan umat ketika ini berhubung dengan masalah khilaf adalah sangat menyedihkan. Kutuk mengutuk menjadi satu tradisi dan berkesinambungan sehingga menyebabkan pepecahan.

Lihat sahaja satu kaedah yang telah digariskan Imam Hasan Al-Banna dalam usul ke 8 dari usul 20 yang terkandung dalam risalah ta'lim:

والخلاف الفقهي في الفروع لا يكون سببا للتفرق في الدين، ولا يؤدي إلى خصومة ولا بغضاء ولكل مجتهد أجره، ولا مانع من التحقيق العلمي النزيه في مسائل الخلاف في ظل الحب في الله والتعاون على الوصول إلى الحقيقة، من غير أن يجر ذلك إلى المراء المذموم والتعصب.

Perselisihan pendapat dalam perkara furu' fekah tidak sepatutnya menjadi sebab
kepada berlakunya perpecahan di dalam agama, juga janganlah ia membawa kepada
perbalahan dan kemarahan antara satu sama lain. Setiap mujtahid ada pahalanya. Tidak
ada halangan jika dilakukan pengkajian ilmiah secara bersih dalam masalah yang
diperselisihkan ini jika dilakukan dalam suasana kasih mengasihi kerana Allah dan bantu
membantu untuk sampai kepada suatu hakikat dengan syarat tidak membawa kepada
perbahasan cara buruk dan perasaan taasub.

Bersambung......

2 comments:

Anonymous said...

Jamil jiddan.. pencerahan buat semua, moga menjadi panduan untuk para qaid dan jundiy2 mereka.. moga ikhawah akhawat ISMA bergeraka tas landasan dan terpandu dengan al-Quran, as-Sunnah dan Sirah salafuna assolihin..

Anonymous said...

akk..moga sihat selalu.. bile nak smbung? xsbr nak baca =)
NDM~

Post a Comment